Era kedua Zinedine Zidane sebagai ketua jurulatih Real Madrid tamat selepas kelab itu mengumumkan pemergian pengendali dari Perancis itu semalam.

Sebagai bekas bintang 'galactico' dan pemain tengah legenda yang mencuri hati penyokong di Santiago Bernabeu, Zidane kembali sebanyak dua kali ke Madrid sebagai jurulatih.

Kini, eranya sudah tamat selepas Madrid berkata dalam satu kenyataan: "Real Madrid mengumumkan bahawa Zinedine Zidane telah memilih untuk menamatkan waktunya sebagai jurulatih kelab ini.

"Kini tiba masanya untuk menghormati keputusannya dan menunjukkan kepadanya penghargaan atas sikap profesional, dedikasi dan kesungguhannya sepanjang beberapa tahun ini dan atas segala apa yang telah disumbangkannya buat Real Madrid.

"Zidane merupakan antara icon legenda Real Madrid dan legasinya akan berterusan daripada apa yang telah dicapainya sebagai jurulatih dan pemain kelab ini.

"Dia mengetahui bahawa dia memiliki tempat di hati penyokong Real Madrid dan sentiasa mempunyai tempat di Real Madrid."

Dalam era pertamanya, dari Januari 2016 hingga Mei 2018, Zidane telah memenangi tiga kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) berturut-turut dan satu gelaran LaLiga.

Dia dipanggil semula pada Mac 2019 tetapi era keduanya sebagai jurulatih tidak begitu memberangsangkan walaupun membawa Madrid menjuarai LaLiga 2019-20.

Bagaimanapun, dia meninggalkan pasukan itu dengan ketandusan trofi tahun ini, di mana Madrid tewas kepada pasukan kerdil, Alcayano, dalam Copa del Rey, disingkirkan oleh Chelsea dalam separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan tidak dapat mempertahankan gelaran Liga Sepanyol daripada Atletico Madrid.