Zinedine Zidane menuntut ketenangan selepas kekalahan mengejut Real Madrid di laman sendiri kepada Real Betis sambil menegaskan tiada apa yang harus dibimbangkan di sebalik juara bertahan LaLiga itu berhempas-pulas ketika ini.

Kehambaran Real di Santiago Bernabeu berlanjutan awal pagi tadi apabila ditewaskan 1-0 oleh Betis meskipun dengan kembalinya penyandang gelaran Ballon d'Or, Cristiano Ronaldo, selepas penggantungan lima perlawanan domestik.

Skuad bimbingan Zidane telah meraih dua keputusan seri berturut-turut di halaman sendiri sebelumnya menjelang perlawanan pertengahan minggu menentang Betis.

Rentetan perlawanan tanpa kemenangannya di tempat sendiri berlanjutan buat kali ketiga berikutan gol saat-saat akhir Antonio Sanabria pada minit ke-94.

Ia adalah rentetan terburuk Real di tempat sendiri dalam LaLiga sejak tempoh Jose Mourinho selaku pengurus pada April 2011 sambil juara bertahan itu dijarakkan tujuh mata daripada pendahulu, Barcelona.

Zidane, bagaimanapu, enggan berasa cemas.

“Saya tidak fikir situasi ini amat menekan,” Zidane memberitahu wartawan selepas perlawanan.

“Kami telah kehilangan mata tapi masih banyak perlawanan yang perlu dihadapi. Segala kerja keras kami tidak akan menjadi sia-sia hanya disebabkan tiga perlawanan hambar di tempat sendiri.

"Kami masih belum berjaya dalam menukar percubaan kepada jaringan. Saya adalah jurulatih pasukan ini dan apa yang kami perlukan adalah ketenangan, rehat dan memikirkan perlawanan berikutnya,” hujahnya.

Kekalahan mengejut awal pagi tadi turut menamatkan rekod penghasilan gol Real dalam 73 perlawanan sejak April 2016.

“Hari ini bola enggan masuk ke dalam gol. Ini adalah bola sepak. Tidak perlu untuk menontonnya semula,” kata Zidane.

"Ini bukanlah satu perlawanan yang hebat tapi ia juga bukan satu perlawanan yang seburuk mana.

“Musim lalu kami menang perlawanan yang mungkin kami tidak berhak menang dan kini keadaan adalah sebaliknya.

"Saya tidak fikir ada sebab-sebab yang perlu dibimbangkan. Kami telah mengharungi satu perlawanan yang bagus di San Sebastian (berdepan Real Sociedad). Janganlah bimbang," tambahnya.

“Apa yang saya selalu inginkan ialah cuba untuk menang. Saya tidak akan berubah. Anda boleh melakukan perubahan berbeza tapi ideanya adalah sama: berusaha untuk menang, lebih-lebih lagi di tempat sendiri.”

Ditanya mengenai Ronaldo dan prestasinya, Zidane berkata: “Saya tidak fikir saya ada rasa cemas sama ada terhadap Cristiano atau pasukan saya.

“Keadaan tidak berjalan baik ketika ini tapi saya ingin tegaskan, anda hendaklah memiliki ketenangan, masih banyak yang perlu dilalui.”