Zidane: Tiada ruang buat Barcelona

Penulis Jemputan
Oktober 14, 2017 02:47 MYT
Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, menyifatkan hatinya hanya untuk juara Sepanyol dan Eropah itu apabila ditanya mengenai kemungkinan untuknya mengendalikan Barcelona suatu hari nanti.
Zidane bakal meraikan perlawanan ke-100 buatnya mengemudi skuad Los Blancos dalam semua kejohanan apabila juara bertahan LaLiga itu bertandang ke Getafe, hari ini.
Bekas bintang Madrid itu telah membawakan kejayaan ke Santiago Bernabeu dengan tujuh trofi kejuaraan sejak menggantikan tempat Rafael Benitez pada Januari 2016.
Pengurus berusia 45 tahun itu juga menegaskan Real Madrid satu-satunya pasukan yang mahu dikendalikan.
"Terdapat warna putih bersih dalam hati saya dan saya tidak akan mengubahnya," kata Zidane.
"Ramai yang bertanya tentang menguruskan pasukan lain tetapi ia tidak untuk saya kerana saya berada di sini.
"Saya hanya memikirkan apa yang sedang dilakukan buat masa sekarang dengan penuh rasa hormat."
Madrid kini tujuh mata di belakang Barca yang mendahului saingan liga dan skuad kendalian Ernesto Valverde itu bakal menentang Atletico Madrid di tempat lawan, hari ini.
"Saya fokus untuk menewaskan Getafe dan apa sahaja yang berlaku dalam perlawanan Barca dan Atletico, itu bukan urusan saya. Kami hanya mahu merapatkan jurang mata."
"Perkara paling besar yang saya pelajari adalah anda harus sentiasa bijak mengambil peluang yang ada dan sentiasa bekerja keras apabila berada di sini.
"Perkara terhebat buat saya di sini adalah memenangi LaLiga. Anda berjuang untuknya setiap hari dan menjuarainya adalah sesuatu yang hebat," tambah Zidane.
#Barcelona #Real Madrid #Zinedine Zidane #LaLiga