Zinedine Zidane menerima hakikat beliau kekurangan pilihan dalam jentera serangan kerana Real Madrid gagal untuk mencari pengganti Alvaro Morata selepas dia membuat keputusan untuk meninggalkan Santiago Bernabeu.

Pemain kebangsaan Sepanyol, Morata, meninggalkan Real untuk bersama Chelsea pada Julai lalu selepas kecewa kerana kekurangan aksi dalam kesebelasan utama.

Sejak berhijrah, Morata menerima pujian dengan permulaan yang berkualiti di Stamford Bridge, menjaringkan tiga gol serta melakukan dua bantuan jaringan dalam empat penampilan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Zidane mendedahkan beliau mahu Morata kekal bersama pasukan tetapi penyerang itu telah membuat keputusan dan hanya Borja Mayoral merupakan pemain yang bakal mengisi kekosongan Benzema, yang terpaksa berehat selama sebulan kerana mengalami kecederan pangkal paha.

"Memang benar jika melihat kepada pemain yang kami miliki, selepas Morata dan Mariano Diaz meninggalkan kelab, kami hanya ada Mayoral.

"Anda mungkin melihat kami kekurangan pemain 'nombor sembilan', dan mungkin ia benar. Tetapi ia tidak mustahil untuk mendapatkan seorang pemain baru dalam posisi ini.

"Saya benar-benar mahu Morata kekal bersama kami tetapi anda perlu memahami keinginannya untuk bermain. Pada akhirnya, kami gagal untuk mencari penggantinya.

"Saya meletakkan kepercayaan kepada Mayoral. Dia masih muda dan memiliki keinginan yang tinggi.

"Gareth Bale turut boleh bermain dalam posisi tersebut tetapi dia lebih berkesan bermain selaku pemain sayap. Kami akan teruskan dengan pemain yang sedia ada dan cuba memberikan yang terbaik."