Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, telah belajar daripada kesilapan yang dilakukan Rafael Benitez dalam menentukan cara menangani Cristiano Ronaldo, menurut bekas pemain antarabangsa Perancis, Bixente Lizarazu.

Benitez terlepas peluang untuk mengetengahkan Ronaldo selaku bintang utama Real Madrid selepas mengambil alih jawatan yang ditinggalkan Carlo Ancelotti di Santiago Bernabeu pada Jun 2015.

Selepas permulaan yang hambar, bekas pengendali Valencia dan Liverpool itu kemudiannya gagal mendapat sokongan daripada kapten Portugal itu sebelum dipecat setahun yang lalu.

Pengganti Benitez, Zidane, tampil lebih bijak dalam menangani aset utama Real, apatah lagi berjaya menjuarai Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

"Saya nampak dia cukup bijak dalam mengendalikan Cristiano Ronaldo, tidak seperti Rafael Benitez, yang mengkritik Ronaldo sebaik tiba di Bernabeu," jelas Lizarazu dalam kenyataan yang dimuat naik ke laman sesawang FIFA.

"Itu bukanlah tindakan yang wajar dilakukan terhadap pemain yang menyumbang 50 gol semusim."

Lizarazu turut terkejut dengan cara berkesan Zidane menyampaikan arahan di tepi padang, selepas menempuh karier yang cukup gemilang sebagai seorang pemain.

"Saya rasa dia telah mempamerkan bakat baru yang tidak pernah ditonjolkan ketika dia masih seorang pemain bola sepak," kata bekas bek kiri Bayern Munich itu.

"Dia tidak perlu berkomunikasi terlalu banyak kerana dia berjaya menyampaikan apa yang perlu menggunakan kakinya.

"Kini di tepi padang, arahan disampaikan cukup jelas dan bersahaja dan kamu boleh lihat dia mendapat sokongan daripada setiap pemain Real."