Zinedine Zidane memikul seluruh tanggungjawab selepas kekalahan kepada Valencia, di mana Real Madrid buat kali pertama dibolosi empat gol dalam perlawanan LaLiga di bawah ketua jurulatih tersohor itu.

Valencia mencatatkan kemenangan 4-1 di Mestalla awal pagi tadi selepas Carlos Soler menjadi pemain pertama menjaringkan hatrik melalui sepakan penalti dalam satu perlawanan LaLiga sepanjang abad ke-21.

Tiga gol Soler itu -- yang merupakan hatrik pertama pemain Valencia dalam liga divisyen utama berkenaan sejak 2017 -- turut disertakan dengan satu gol sendiri Rapahel Varane, yang terbias daripada percubaan Maxi Gomez ke gawang Thibaut Courtois.

Madrid bermula baik apabila mendahului menerusi gol gemilang Karim Benzema tetapi dibolosi empat gol dalam satu perlawanan liga buat kali pertama sejak tewas 1-5 kepada Barcelona pada Oktober 2018 -- kekalahan yang menyaksikan Julen Lopetegui dipecat.

Zidane, yang muncul pengganti Lopetegui, bersedia dipersalahkan di atas persembahan Madrid itu sambil menyedari mereka perlu menyelesaikan masalah di bahagian pertahanan selepas bolos 14 gol sepanjang tujuh perlawanan terakhir sejak waktu rehat antarabangsa Oktober lalu.

"Tiga penalti, satu gol sendiri, ia sudah melampau," kata Zidane yang pasukannya kini di tangga keempat dan ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Real Sociedad.

"Ia salah saya kerana saya jurulatih dan saya perlu mencari penyelesaiannya.

"Saya tidak boleh jelaskan apa yang berlaku. Ia hari yang buruk, tidak ada sebarang alasan. Kami perlu meningkat daripada segi bertahan.

"Saya tidak fikir Valencia lebih baik daripada kami secara taktikal. Satu-satunya perkara adalah kami bermula baik dan segalanya berubah selepas gol itu.

"Ia amat sukar difahami. Tetapi benar, tanggungjawab maksimum itu dipikul saya. Kami perlu mencari penyelesaian selepas gol itu dijaringkan," katanya.