Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, memuji persembahan "sempurna" dalam aksi kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Paris Saint-Germain (PSG), awal pagi tadi.

Jaringan Cristiano Ronaldo dan Casemiro serta gol sagu hati Edinson Cavani memberikan kemenangan 2-1 buat Real di Parc des Princes dan 5-2 secara agregat.

Dengan Luka Modric dan Toni Kroos masih belum berada pada tahap kecergasan terbaik, Zidane menurunkan Mateo Kovacic dan Casemiro di bahagian tengah, manakala Lucas Vazquez dan Marco Asensio tampil sebagai pemain sayap, dan percaturan ini ternyata membuahkan hasil apabila PSG tewas di laman sendiri buat pertama kali dalam semua kejohanan sejak Mac 2016.

Kapten pasukan,, Sergio Ramos, berterima kasih kepada Zidane kerana memberikan pendekatan yang efektif untuk perlawanan ini tetapi ketua jurulatih itu menegaskan segala usaha telah ditampilkan oleh pemain-pemain.

"Perancangan berjalan dengan baik. Kami bermain secara serius sejak awal permainan, memberikan tekanan. Kami bermain satu perlawanan yang sempurna," kata Zidane.

"Saya bertugas untuk memilih pemain, membuat persiapan daripada segi strategi dan taktikal. Pemain-pemain yang bertindak dengan baik dan percaya mampu melakar kemenangan," tambahnya.

PSG, yang beraksi tanpa kehadiran Neymar, gagal menampilkan sebarang petanda untuk bangkit dalam perlawanan ini setelah melakukan percubaan ke arah pintu gol hanya tiga kali.

Mereka juga terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain apabila Marco Verratti diarahkan keluar padang.

Zidane berasakan keputusan tersebut membantu pasukannya tetapi menegaskan PSG telah bermain dengan baik sepanjang dua perlawanan.

"Mereka bermain dengan baik di Santiago Bernabeu. Kad merah telah mengubah rentak perlawanan ini."