Zinedine Zidane dan Sergio Ramos menolak kepentingan ketiadaan Neymar bersama Paris Saint-Germain (PSG) sambil menjangkakan ancaman bekas bintang Real Madrid, Angel Di Maria, yang akan menggantikan tempat bintang Brazil itu dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL).

Madrid membawa bekalan 3-1 ke Paris dalam pertembungan timbal balik pusingan 16 itu, awal pagi esok.

Malah, Madrid juga menerima rangsangan pada minggu lalu susulan khidmat bintang Brazil, Neymar, tidak dapat digunakan PSG akibat kecederaan semasa membabitkan aksi Ligue 1.

Bagaimanapun, Zidane dan kapten, Ramos, mendakwa situasi itu tidak akan mencetuskan perbezaan besar, dengan kedua-dua sosok itu menegaskan Di Maria, yang pernah mewakil Madrid dari 2010 hingga 2014, dijangka akan memanfaatkan ketiadaan Neymar.

Ketika ditanya mengenai betapa pentingnya kelibat Neymar, Ramos memberitahu wartawan di Paris: "Dia seorang pemain yang berbeza, Neymar.

"Tidak ramai pemain sepertinya di pentas dunia, mana-mana pasukan yang diwakilinya pasti mendapat manfaat. Kami pernah menghadapinya ketika bertemu Barca dan amat mengenalinya, namun Di Maria adalah pemain hebat dan dia boleh menggantikan tempatnya.

"Saya fikir Di Maria adalah seorang pemain yang mampu bertahan dengan lebih baik, bekerja keras dan melancarkan serangan, kami perlu melihat kekuatan mereka dan saya fikir kami mempunyai skuad yang cukup bagus untuk menyaingi mereka."

Tambah Zidane: "Sesetengah perkara ada yang berubah, ada yang tidak. Dia (Di Maria) seorang pemain bola sepak yang luar biasa, kami kenal siapa dia.

"Dia bermain sangat baik untuk kelab ini tetapi tidak kira siapa pun yang akan menggantikan Neymar, pasti akan sangat bermotivasi dan berharap dapat melakukan persembahan yang baik.

"Dia mempunyai sejarah hebat di sini di Real Madrid. Dia boleh bermain di mana-mana di bahagian hadapan dan mampu berlari di segenap penjuru padang.

"Dia mempunyai rembatan padu dan sangat pantas. Kami akan cuba mengetengahkan rentak kami tetapi kami tahu mereka akan mencetuskan beberapa persoalan.

"Saya tidak fikir rombakan besar. Motivasi kami akan tetap sama, kami menghadapi sebuah pasukan mantap yang diwakili pemain-pemain yang sangat hebat."

PSG tidak akan teragak-agak untuk memberi tekanan kepada pengadil, Felix Brych, sebelum pertemuan di Parc des Princes itu, dengan Pengarah Sukan, Antero Henrique, mendakwa pengadil dalam aksi pertama kurang menunjukkan rasa hormat kepada Paris dan Perancis.

Daripada segi taktik, ia bukan sesuatu yang baru buat Zidane yang menegaskan topik itu perlu dilakukan "di atas padang".

"Kami sudah terbiasa dengannya," kata Zidane. "Kami hanya perlu fokus kepada permainan, 11 lawan 11.

"Pengadil akan melaksanakan tugasnya dan berharap dapat melaksanakannya dengan baik. Kami harus memberi tumpuan kepada pelan permainan kami dan menjangkakan suasana tegang.

"Anda sedar sejauh mana kehebatan sebuah pasukan yang memiliki semangat berpasukan tinggi ketika menentang Real Madrid -- kami akan membuktikannya di atas padang."