Ketua jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane, memuji aksi berani yang dipaparkan Brahim Diaz sewaktu diikat 0-0 oleh Getafe dalam perlawanan LaLiga, awal pagi tadi.

Keputusan itu menyaksikan Madrid kini melewati tiga perlawanan liga tanpa kemenangan di laman lawan, namun pemain berusia 19 tahun, Diaz -- yang meninggalkan Manchester City, Januari lalu -- memaparkan aksi menyinar di Coliseum Alfonso Perez itu.

"Saya gembira menyaksikan perkembangannya. Dia beraksi dengan amat baik.

"Dia gemar beraksi dan saya menggemari aksi berani daripada pemain sepertinya.

"Dia mahir menggunakan kedua-dua kaki dan amat pantas.

"Dia beraksi dengan baik, namun terpaksa dikeluarkan kerana kekejangan otot.

"Saya gembira untuk melihat cara permainannya.

"Kita akan lihat apa yang akan berlaku tahun depan. Kunci utamanya adalah apa yang berlaku hari ini," katanya.

Diaz -- yang menandatangani perjanjian selama enam setengah tahun dengan yuran dilaporkan bernilai €17 juta (RM90.9 juta) -- hanya melakukan dua penampilan sebagai kesebelasan utama dalam LaLiga sejak meninggalkan pasukan penyandang juara Liga Perdana Inggeris itu.

Secara keseluruhan, pemain kebangsaan Sepanyol itu telah melakukan tujuh penampilan buat Madrid.