REAL MADRID 1 ATHLETIC BILBAO 1

Zinedine Zidane menegaskan bahawa tiada masalah di antaranya dan Gareth Bale selepas bintang Wales itu sekali lagi tersenarai antara pemain simpanan ketika Real Madrid seri 1-1 dengan Athletic Bilbao dalam LaLiga di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.


Bale masuk dari bangku simpanan ketika perlawanan berbaki 20 minit apabila Madrid mengejar jaringan penyamaan selepas gol pembukaan daripada Inaki Williams pada minit ke-14.

Bekas pemain Tottenham itu hampir menemui jaringan menerusi voli sebelum Cristiano Ronaldo menyudahkan tendangan menerusi tumitnya untuk menewaskan penjaga gawang Athletic, Kepa Arrizabalaga, tiga minit sebelum tamat.

Madrid akan bertemu Bayern Munich dalam separuh akhir Liga Juara-Juara, Khamis ini dan perlawanan menentang Athletic itu merupakan aksi pertama Bale sejak dikeluarkan pada separuh masa pertama ketika menewaskan Juventus dalam aksi timbal balik di Santiago Bernabeu, Khamis lalu.

"Tiada masalah (dengan Bale)," kata Zidane.

"Dia adalah salah seorang daripada 25 pemain dalam skuad. Dia tidak bermula hari ini, yang lain bermain dan beraksi dengan baik juga.

"Kamu terus bertanya tetapi jawapan saya mengenai perkara ini tidak akan berubah," katanya.

Zidane turut menyuarakan nada biasanya mengenai penyerang, Karim Benzema, yang memberi laluan kepada Bale untuk membuatkannya hanya mengumpul satu gol sepanjang 10 perlawanan sebelum ini dalam semua pertandingan.

"Saya tidak mempunyai apa-apa untuk bercakap tentangnya," kata jurulatih Perancis itu mengenai rakan senegaranya itu.

"Dia mencuba dan akan terus berusaha sehingga ke akhir. Itu sahaja.

"Apa yang mesti kami lakukan ialah cuba untuk tidak menonton atau mendengar apa yang kamu katakan (media), tetapi hanya memberi tumpuan kepada perkara positif," katanya lagi.