Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, berkata "Juventus masih penting buatnya" apabila dikaitkan dengan jawatan di Serie A itu.

Tekanan Andrea Pirlo, yang dalam tahun pertama kariernya sebagai pengurus, di Turin semakin memuncak di mana gergasi Itali itu kini menghuni di tempat keempat dan berisiko kehilangan tiket Liga Juara-Juara (UCL) pada musim depan.

Juventus yang dibintangi Cristiano Ronaldo itu dikejutkan oleh wakil Portugal, Porto, dalam pusingan 16 UCL.

Lantaran itu, bekas pengurus, Massimiliano Allegri -- yang meninggalkan pasukan pada 2019 -- mula dikaitkan dengan kepulangannya selepas mengadakan pertemuandengan Presiden, Andrea Agnelli.

Zidane menghabiskan tempoh lima tahun di Juventus dengan memenangi dua gelaran Serie A sebelum berkelana ke Madrid pada 2001, justeru bekas pemain Perancis itu tidak menolak kemungkinan bergabung dengan Bianconeri.

"Itali masih di hati saya, saya menghabiskan karier selama lima tahun di Turin dan Juventus masih penting buat saya," katanya kepada Sky Italia.

"Masa depan di Juve? Buat masa ini saya di sini, kita akan lihat kelak," katanya yang mengendali perlawanan ke-50 dengan 39 kemenangan dicipta.

Zidane ditemui selepas Madrid mengalahkan Liverpool 3-1 dalam pertemuan pertama suku akhir UCL, awal pagi tadi.



Vinicius Junior meledak dua gol buat tuan rumah itu sementara Marco Asensio turut menemui sasaran ke atas juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di sebalik ketiadaan pertahanan tengah mantap, Sergio Ramos dan Raphael Varane.

Pemain berumur 20 tahun dan 268 hari itu muncul sebagai pencetak gol termuda kedua buat Madrid dalam pertandingan kalah mati itu selepas Raul melakukan pada usia 18 tahun ketika merobek gawang Juventus pada Mac 1996.

"Saya gembira buatnya kerana dia amat memerlukannya, seperti mana Marco dan Karim Benzema juga.

"Dia beraksi dengan baik, dia membantu pasukan dan pastinya jaringan ini akan melonjakkan semangatnya.

"Dia kurang mengengat sebelum ini jadi dua gol ini akan menyuntik keyakinannya.

"Saya tidak pasti adakah ia perlawanan terbaiknya sepanjang mewakili Real Madrid, tapi dua sumbangannya dalam suku akhir adalah sesuatu yang amat istimewa."