Ketua jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane, lega apabila pasukan juara bertahan yang sedang bergelut itu memperoleh kemenangan penting ke atas Sevilla dalam perlawanan LaLiga awal pagi tadi.

Madrid menamatkan badi kekalahan berturut-turut dengan mencatatkan kemenangan 1-0 di Estadio Ramon Sanchez Pizjuan, sekali gus mengurangkan tekanan yang dihadapi pengendali itu.

Kedudukan Zidane menjadi persoalan selepas pasukan itu tewas kepada Deportivo Alaves selain Shaktar Donetsk dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tetapi jaringan sendiri Yassine Bounou pada minit ke-55 memberikan pengendali berbangsa Perancis itu sedikit ruang untuk bernafas.

Keputusan itu menyaksikan Madrid hanya dibezakan enam mata dengan pendahulu, Atletico Madrid, sambil Real Sociedad akan kembali ke kedudukan teratas dengan kelebihan tujuh mata di depan skuad Los Blancos itu seandainya menewaskan Alaves malam ini.

"Ia amat penting," kata Zidane dalam sidang media selepas perlawanan.

"Beberapa hari ini amat sukar dan pasukan ini penuh perwatakan. Ia penuh dengan cabaran dan kemenangan ini amat penting untuk apa yang akan tiba selepas ini," katanya.