Zinedine Zidane teruja dengan perkembangan Eden Hazard dan Marco Asensio yang kembali cergas susulan dilanda kecederaan, namun dia tidak dapat menjamin Luka Jovic akan pulih sebelum musim ini berakhir.

Hazard mengharungi musim mengecewakan akibat masalah kecergasan sementara Asensio menderita kecederaan lutut dalam perlawanan persahabatan pra-musim ini.

Hazard patah pergelangan kaki November lalu sehingga menyisihkannya hampir tiga bulan disusuli keretakan kaki sejurus kembali.

Sekiranya musim ini tidak ditangguhkan kerana wabak COVID-19, bekas bintang Chelsea itu -- yang menyertai Madrid dengan nilai EUR100 juta (RM480.6j) tahun lalu -- dijangka akan terpinggir sekurang-kurangnya lapan minggu lagi.

Namun, menjelang kunjungan ke Eibar awal pagi esok, pengendali itu mengesahkan kedua-dua pemain berkenaan berpotensi memainkan peranan dalam misi Los Blancos mencabar Barcelona di puncak LaLiga.



"Mereka sudah dibenarkan untuk menjalani persiapan bersama rakan sepasukan," katanya kepada wartawan pada hari Sabtu.

"Kecederaan Asensio lebih serius dan memerlukan pemulihan yang lebih lama tetapi kedua-duanya kembali cergas, mereka akan boleh membantu pasukan dan ia satu berita baik."

Begitupun, nasib Jovic kurang bernasib baik untuk kembali dalam masa terdekat.

Penyerang Serbia itu patah kakinya bulan lalu, jadi Zidane tidak dapat menjamin bahawa bekas bintang Eintracht Frankfurt itu akan berkesempatan untuk beraksi lagi musim ini.

"Dia tercedera di rumahnya dan kami tidak tahu berapa lama dia akan berehat.

"Ini satu berita buruk. Kami harap dia dapat kembali secepat mungkin dan sebelum musim ini berakhir."