LEGANES 2 REAL MADRID 4

Zinedine Zidane menegaskan kepentingan dalam memastikan Real Madrid kekal cergas susulan tindakan James Rodriguez melahirkan perasaan kecewanya apabila dikeluarkan dalam pertemuan dengan Leganes, awal pagi tadi.


Pengurus dari Perancis itu membuat sembilan rombakan ke atas pasukannya yang meraih kemenangan 3-0 ke atas Alaves pada Ahad lalu, dengan Cristiano Ronaldo, Gareth Bale dan Karim Benzema direhatkan.

Bagaimanapun pendahulu LaLiga itu berhasil mengekalkan kelebihan dua mata ke atas Barcelona dengan kemenangan 4-2.

James -- mempamerkan aksi mengagumkan di bahagian tengah sejak awal permainan -- membuka jaringan di Butarque dan membuat umpanan untuk gol ketiga menerusi Alvaro Morata untuk menjadikan kedudukan 4-2 tetapi dia kemudian menumbuk bangku pemain simpanan Madrid bagi melepaskan kemarahan selepas digantikan oleh Isco pada minit ke-72.

Zidane memahami kekecewaan James itu, begitupun dia merujuk kepada aksi menentang Atletico Madrid dan Bayern Munich pada minggu depan sebagai bukti kepentingan dalam memastikan pemainnya dalam kesegaran.

"Saya mempunyai sebuah pasukan luar biasa yang bekerja dengan sangat baik. Saya perlukan 24 pemain, memenangi pertandingan utama adalah penting," katanya kepada Movistar +.

"Saya amat memahaminya (reaksi James), namun saya perlu membuat perubahan. Kami tiba pada penghujung musim dengan baik. Setiap perlawanan adalah berbeza. Apa yang kami lakukan adalah baik dan kini kami perlu fikir tentang apa yang akan berlaku."

Madrid mendahului 3-0 dalam tempoh 23 minit pertama, bagaimanapun Leganes kembali memberi saingan apabila mendapatkan gol dua kali berturut-turut sebelum rehat.

Morata kemudian kembali meletakkan Madrid dalam kedudukan selesa tidak lama selepas rehat dan pada masa yang sama, Zidane mengakui Madrid perlu memperkemaskan persembahan mereka.

"Ia adalah perlawanan yang agak pelik tetapi itulah yang berlaku," kata ketua jurulatih itu lagi.

"Akhirnya, kami mempunyai kawalan yang lebih baik pada separuh kedua sebaik sahaja kami menyumbat gol yang keempat.

"Adakah kami leka selepas 3-0? Ia tidak sepatutnya berlaku, ia adalah detik sukar apabila Leganes meledak dua gol dalam tempoh beberapa minit.

"Kami sentiasa boleh memperbaiki aksi dan sentiasa perlu meningkatkan prestasi.

"Inilah perkara indah tentang bola sepak: anda tidak pernah tahu apa yang akan berlaku.

"Apa yang penting adalah untuk mendapatkan mata sebelum aksi 'derby'."