Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, mendedahkan dia hanya memberitahu Gareth Bale untuk menikmati masanya di atas padang ketika dia dilihat membisikkan sesuatu ke telinga pemain sayap itu selepas menyaksikan pasukannya melakar kemenangan 2-0 ke atas Espanyol dalam saingan LaLiga.

Selepas tiga bulan disisihkan kerana kecederaan buku lali, Bale diberikan 19 minit terakhir untuk beraksi di Santiago Bernabeu, malam tadi.

Zidane kelihatan membisikkan sesuatu kepada pemain antarabangsa Wales itu ketika dia sedia mengeluarkan Alvaro Morata, yang bertanggungjawab meledak gol pertama Madrid.

Memasuki enam minit terakhir, Bale meraikan kepulangannya dengan penuh gaya apabila dengan mudah menewaskan penjaga gol, Diego Lopez, selepas menerima hantaran Isco.

"Saya hanya memberitahu dia untuk keluar dan menikmati masanya," Zidane memberitahu wartawan.

"Gareth adalah pemain yang istimewa, cukup berbeza dengan pemain lain.

"Saya gembira dia kembali dan lega melihat dia kembali menjadi pemain bola sepak selepas tiga bulan diketepikan.

"Dia sangat gembira dan teruja untuk kembali dan dia kembali dengan penuh gaya."

Zidane menambah: "Tetapi kami juga memiliki 24 pemain yang gembira untuk membantu pasukan tidak kira masa.

"Penting untuk mereka merasai perasaan itu. Kami perlukan mereka semua."