CELTA VIGO 1 REAL MADRID 3

Zinedine Zidane bingung dengan ketiadaan Karim Benzema dalam skuad Perancis selepas penyerang itu meledak dua gol untuk membantu Real Madrid mencatat kemenangan 3-1 ke atas Celta Vigo, awal pagi tadi.


Anak buahnya itu melakar jaringan berganda dalam masa 30 minit pembukaan permainan untuk meletakkan Los Blancos mendahului 2-0, sebelum Marco Asensio melengkapkan kemenangan bergaya mereka di sebalik Santi Mina menghasilkan gol sagu hati buat tuan rumah.

Benzema berjaya merobek gawang lawan dalam enam perlawanan terakhirnya untuk jumlah sembilan gol, menyamai pencapaian terbaiknya bersama Madrid (juga dalam enam perlawanan di antara Januari hingga Februari 2016).

Ia gol berganda LaLiga kelimanya musim ini dan dia melakukannya enam kali pada 2011-12.

Benzema tidak lagi pernah dipanggil untuk mewakili negaranya sejak 2015 berikutan dakwaan cubaan memeras rakan sepasukan kebangsaan, Mathieu Valbuena.

"Bagi orang yang menggemari bola sepak, melihat Karim adalah satu kemewahan kerana kami juga menikmatinya, begitu juga dengan rakan sepasukannya," kata pengendali itu dalam sidang media.




"Bagaimana untuk kami boleh memahami mengapa Karim tidak tersenarai dalam pasukan kebangsaan? Ramai yang tidak memahaminya.

"Tetapi bagi saya sebagai jurulatih Madrid, adalah lebih baik dia kekal di sini. Dia telah melaksanakan tugasan yang hebat bersama kami."

Keputusan itu meletakkan Madrid mengatasi Barcelona di tangga kedua sementara tiga mata di belakang pendahulu dan musuh sekota, Atleti, tetapi pasukan asuhan Diego Simeone tersebut berpeluang untuk kembali melebarkan kelebihan kepada enam mata dengan syarat mengatasi Deportivo Alaves, awal pagi esok.

Madrid belum tewas dalam 10 perlawanan liga -- kali pertama mereka mencapainya sejak Mei 2016 yang menyaksikan mereka mengharungi 11 perlawanan tanpa kekalahan -- justeru Zidane gembira dengan cara pasukannya menghadapi perlawanan sukar.

"Ini bukan sesuatu yang mudah. ​​Anda tidak boleh menjangka mampu menjaringkan empat, lima atau enam gol," tambahnya.

"Ia semakin rumit. Pada akhirnya, saya akan mengekalkan rentak yang kami mainkan, menderita dalam separuh masa kedua tetapi menguasai permainan. Wujud persaingan tetapi kami mampu mengawalnya dengan baik. Kami berhak meraih kejayaan ini.

"Kami perlu teruskan usaha. Kami berada pada detik yang baik dan kami sedang memasuki penghujung saingan dan segalanya masih terbuka luas."

Madrid akan menjadi tuan rumah Eibar dalam LaLiga pada 3 April depan selepas rehat antarabangsa.