Kapten skuad kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak, memberi jaminan dia dan rakan sepasukan akan mengerah segala kudrat untuk memastikan Harimau Malaya meraih kemenangan pertama di pentas antarabangsa sejak 2016 apabila berdepan Bhutan dalam aksi persahabatan antarabangsa, Ahad ini.

Bagi Zaquan, dia dan rakan sepasukan sebenarnya sudah menanam keazaman tinggi untuk melakar kemenangan apabila berdepan Lubnan dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia di Beirut, Selasa lalu.

Walaupun tewas 2-1, mereka menyerlahkan aksi meyakinkan kepada lawan yang berada di ranking ke-87 dunia itu.

"Dalam bola sepak, kami cuba yang terbaik tetapi nasib tidak menyebelahi kami. Kami akan meneruskannya walaupun tewas di tangan Lubnan," kata Zaquan.

Dia adalah antara sembilan muka baru yang dipanggil pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe, untuk aksi berdepan Lubnan.

Cheng Hoe kini turut mengharapkan prestasi yang ditunjukkan ketika berdepan Lubnan mampu dikekalkan apabila berdepan Bhutan walaupun bekas pengendali Kedah itu tidak menolak kemungkinan memberi peluang kepada pemain yang tidak beraksi di Beirut.

"Sebagai ketua jurulatih, saya harus memuji aksi pemain-pemain, terutama mereka yang pertama kali beraksi buat skuad negara kerana ia tidak mudah.

"Dalam masa terdekat, kami tidak akan memanggil pemain lain dan akan cuba memberi peluang kepada mereka yang tidak beraksi sebelum ini," ujar Cheng Hoe.