Tuduhan yang mengatakan Lionel Messi sedang mengalami kemerosotan prestasi menggelikan hati bekas rakan sepasukannya, Gianluca Zambrotta.

Messi mengharungi perlawanan sukar ketika menentang Juventus dalam aksi Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu ini, dengan Barca hanya berupaya membuat lima percubaan tidak tepat di peringkat suku akhir itu untuk tewas 3-0 secara agregat.

Bagaimanapun, Zambrotta menegaskan prestasi Messi tidak menurun dengan membandingkan bintang Argentina itu dengan pesaing ketatnya, Cristiano Ronaldo, yang menjaringkan lima gol dalam kemenangan 6-3 Real Madrid ke atas Bayern Munich dalam suku akhir kempen Eropah itu.

"Ia membuatkan saya ketawa apabila seseorang mengatakan prestasi Messi semakin merosot," kata Zambrotta kepada Omnisport.

"Saya tidak tahu statistik yang tepat tetapi buat masa ini, jika tidak silap saya, Messi dan Ronaldo mempunyai jaringan besar yang sama.

"Messi telah menjaringkan banyak gol pada musim ini dalam Liga Juara-Juara, begitu juga dalam LaLiga. Mungkin dia lebih matang dan memahami bahawa kadang-kala, dia perlu menekan brek, seperti yang kita katakan."

Zambrotta mencadangkan bilangan aksi Messi bersama kelab dan negara mungkin memberi kesan sambil menyorot kembali pengalamannya sendiri ketika pernah mewakili Barcelona di antara tahun 2006 dan 2008.

"Semasa Messi menjadi rakan sepasukan saya, saya tahu dia boleh menjadi penentu perlawanan pada setiap masa," kata bekas pemain antarabangsa Itali itu.

"Secara ringkasnya, apabila anda buntu dalam permainan... dia akan melakukan sesuatu dengannya.

"Dalam latihan, anda mahu merampas bola daripadanya, ada kalanya saya berjaya berbuat demikian ketika tahap fizikal saya berada di puncak.

"Anda perlu berada di tahap terbaik anda untuk melakukannya tetapi kebanyakan masa adalah sangat sukar untuk merampas bola daripadanya.

"Messi tidak statik. Mungkin dia mahu mengelak daripada dicederakan dan cuba untuk menarik perhatian lawan demi memberi ruang kepada rakan sepasukannya yang lain. Tetapi kebanyakannya adalah kerana dia tampil dalam terlalu banyak perlawanan.

"Messi adalah seorang pemain yang terlibat dalam 60 hingga 70 perlawanan dalam setiap tahun. Adalah mustahil untuk sentiasa berada di kemuncak prestasi.

"Dia dan Cristiano Ronaldo, mereka sentiasa bermain dengan pasukan kebangsaan dan kelab, sentiasa beraksi sehingga ke peringkat akhir setiap pertandingan."