Zainal Abidin Hassan hilang kata-kata malam tadi. Beliau ralat dengan prestasi suram anak-anak buahnya biarpun di atas kertas menguasai 60 peratus aksi di Kuching.

"Ya. Saya kecewa. Saya kecewa dengan keputusan ini," ulasnya ringkas.

Katanya, anak-anak buahnya gagal bermain seperti biasa dan kesannya, mereka tercicir mata yang amat dicari.

"Keadaan makin tertekan apabila kami beraksi 10 orang.

"Kami terpaksa memberi tumpuan kepada disiplin bertahan untuk mengekang asakan sambil melancarkan beberapa serangan balas," tambahnya.

Zainal berpendapat aksi malam tadi seharusnya menghadirkan keputusan berbeza.

"45 minit pertama, kami bermain dengan baik biarpun aksi seimbang. Namun, ketumpulan penyudah menghampakan," katanya.

Menurutnya, layangan kad merah kepada Mohd Azrul Ahmad menyebabkan aksi mereka menjadi pincang.

"Hakikatnya pasukan kami agak terdera selepas itu, namun pemain-pemain tidak berputus asa untuk menghidu peluang yang ada.

"Pun begitu, disiplin bertahan Sarawak selepas itu menyukarkan usaha kami, apatah lagi selepas mereka berjaya menjaringkan gol kedua."

Kata Zainal, biarpun Pulau Pinang kini terperosok jauh, beliau tidak akan mengaku kalah.

"Selagi belum tamat,saya akan teruskan perjuangan dan keringat. Begitu juga saya berpesan kepada budak-budak: apa nak jadi dalam tiga aksi terakhir, jadilah.

"Kami kena berusaha... biarlah wisel penamat yang menentukan," katanya lagi.

Baki saingan akan menyaksikan Pulau Pinang bertemu T-Team, Perak dan Selangor untuk menentukan kelangsungan dalam Liga Super.