Prestasi naik turun pemain Melaka United menjurus ke arah situasi berat buat jurulatih, Zainal Abidin Hassan, yang diberi kata dua, menang dalam dua perlawanan atau, selamat tinggal.

Zainal terima -- dua baki saingan liga pusingan pertama bakal menentukan nasibnya bersama Melaka.

Post mortem telah dibuat -- Mahu tidak mahu barisan kejurulatihan yang diketuai Zainal perlu mengambil tanggungjawab tersebut.

Baginya, kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku dalam pasukan sering menjadi penghalang Melaka mengutip mata bermakna dalam setiap perlawanan.

"Telah banyak kami usahakan dan saya berharap pemain-pemain akan memperbaiki permainan dengan lebih cemerlang dengan mengelak daripada melakukan kesilapan berulang dan elak melakukan kesilapan mudah," kata Zainal.

Silap pemain, jurulatih yang terpaksa menanggung akibat, itu situasi tepat untuk menggambarkan kedudukan Zainal dan keseluruhan jurulatih Melaka ketika ini.

"Ia adalah lumrah dalam bola sepak dan jurulatih bertanggungjawab bagi membentuk pasukan dan menjadi pemain lebih berjaya," katanya.