Ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan, melihat peluang cerah buat skuad Sang Kancil melakar sejarah baru mara lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia selepas bergelar juara Kumpulan C dengan 16 mata.

Melaka menundukkan Kedah Darul Aman FC 2-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan sekaligus hasrat Zainal untuk elak bertemu Johor Darul Ta'zim di pusingan suku akhir, tercapai.

Zainal lega setiap barisan pemain beri komitmen terbaik selain berharap mereka mengekalkan disiplin sama menjelang aksi pertama suku akhir bertemu Sabah FC, Khamis ini.

"Momentum amat penting, walaupun kami sudah layak ke suku akhir, tetapi momentum yang perlu dibawa ke penghujung Piala Malaysia itu diperlukan," kata Zainal.

"Dengan persembahan dalam perlawanan ini, saya bertanggungjawab untuk mengekalkan prestasi ini dalam perlawanan berikutnya."

Pemain tengah Melaka, Manuel Ott, mengakui tahap keserasian yang membezakan prestasi mereka di kancah Liga Super dan Piala Malaysia.

Pemain berdarah kacukan Jerman dan Filipina yang ketika ini sudah meledak empat jaringan di pentas Piala Malaysia, tidak terlalu mengejar untuk menambah gol malah hanya mahu memastikan tiga mata pada setiap perlawanan.

"Saya berasakan setiap perlawanan yang sesuatu yang baru buat kami. Kami sentiasa memberikan tumpuan dalam saingan Piala Malaysia dan semuanya berjalan dengan baik dan mahu meneruskan momentum ini," kata Manuel.