Kesilapan skuad bimbingannya menghadiahkan sepakan penalti kepada lawan ketika masa kecederaan mengundang rasa kecewa Zainal Abidin Hassan yang menyaksikan Pulau Pinang dinafikan kemenangan apabila sekadar seri 1-1 dengan Terengganu FC (TFC) II, malam tadi.

Jurulatih berpengalaman itu menyifatkan keputusan itu sebagai satu kerugian besar buat pasukannya apabila berjaya bertahan sehingga 90 minit, namun segala-galanya berubah di masa kecederaan selepas Ugo Ukah menjatuhkan Akanni Sunday Wasiu di dalam kotak penalti.

Sepakan itu disudahkan sendiri oleh Akanni Sunday, sekali gus memadam jaringan pendahuluan Pulau Pinang yang dijaringkan Mohd Raimi Md Nor pada minit ke-51.

"Barisan pertahanan lalai di saat-saat akhir sehingga memberikan penalti kepada lawan dan itu yang membinasakan kami.

"Keputusan ini sangat mengecewakan kerana pemain-pemain berjaya mengawal keadaan, namun sedikit longlai di penghujung permainan," jelas Zainal.

Sementara itu Zainal turut mengakui situasi nyata tidak berpihak kepada Harimau Kumbang dengan kini bergelut di tangga kedua tercorot dengan mengumpul 12 mata daripada 13 perlawanan.

Usaha kini sedang dijalankan untuk mendapatkan khidmat seorang penyerang import yang akan tiba dalam masa terdekat sebelum jendela perpindahan kedua ditutup.

Kata putus pihak pengurusan kini dinanti dengan penuh harap oleh Zainal yang mahu jentera serangan Pulau Pinang diperkemaskan lagi.

"Ini sudah keadaan yang mencemaskan bagi Pulau Pinang kerana kedudukan liga amat merisaukan," tambahnya.