Bekas tonggak tengah Felda United, Zahril Azri Zabri, mengharapkan penghijrahannya ke Sarawak United dari Selangor membawa sinar baru dalam kariernya selepas sukar mendapat peluang bermain sebelum ini.

Zahril, yang juga bekas pemain skuad B-19 negara, percaya Sarawak United adalah pelantar terbaik untuk mengembalikan semula namanya dalam kancah bola sepak tempatan.

"Saya kurang minit permainan di Selangor dan persaingan di bahagian tengah memang sengit.

"Tahun lalu saya hanya sempat bermain dalam 5-6 perlawanan bersama Selangor II.

"Saya harap penghijrahan memberi minit permainan yang banyak dan Alhamdulillah saya hanya terlepas saya satu perlawanan sahaja sepanjang pusingan pertama ," katanya dalam Nadi Arena hari ini.





Selain itu, pemain berusia 22 tahun itu turut mengakui cabaran unik bermain bersama kelab Borneo berkenaan yang menghimpunkan ramai pemain berpengalaman berusia 30 tahun ke atas.

"Pasukan ini mempunyai ramai pemain senior seperti Taylor Regan , Christie Jayaseelan dan Norshahrul Idlan Talaha.

"Pengalaman luas mereka dalam Liga-M sedikit sebanyak membantu saya dan pasukan."