Ketua jurulatih Kelantan United FC (KUFC), Zahasmi Ismail, masih menunggu isyarat pihak pengurusan sebelum memanggil semua pemain skuad Kijang Hijau menjalani latihan rasmi.

"Alhamdulillah, sudah dapat kebenaran daripada kerajaan untuk pasukan Liga Malaysia menjalani latihan.

"Cuma, saya masih belum menerima panggilan rasmi daripada kelab untuk berbincang mengenai isu latihan.

"Mungkin pihak pengurusan sedang menyelesaikan 4 perkara utama yang digariskan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebelum pasukan dibenarkan turun padang," ujarnya.

Zahasmi yang berjaya membawa KUFC merangkul kejuaraan Liga-M3, musim lepas, gembira dengan komitmen semua anak buahnya yang giat menjalani latihan di rumah masing-masing.

"Semua pemain sudah tidak sabar untuk menjalani latihan di padang dan akan mematuhi segala SOP yang ditetapkan," katanya

Untuk rekod, kerajaan Malaysia melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberi kebenaran kepada pasukan yang bersaing di Liga-M untuk mengadakan sesi latihan semula bermula hari ini (15 Jun) selepas hampir tiga bulan terhenti akibat pandemik Covid-19.

Kredit Foto: KUFC