Akhirnya, selepas gagal menggunakan Stadium Sultan Mohammed Ke-IV, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memillih Stadium Mini Ketereh sebagai gelanggang latihan sebelah malam sepanjang bulan Ramadan ini bagi menghadapi baki saingan Liga Super dan persediaan cabaran Piala Malaysia.

Ketua Jurulatih The Red Warriors (TRW), Zahasmi Ismail, menjelaskan biarpun lokasinya agak jauh dari Kota Bharu, skuadnya tiada pilihan lain untuk meneruskan sesi latihan pada sebelah malam bagi mengekalkan tahap kecergasan pemain.

“Pengarah Teknikal KAFA (Alfredo Gonzales) bersama dengan pegawai media (Md Zuki Deraman) telah meninjau keadaan Stadium Mini Ketereh malam kelmarin dan memberi isyarat sesi latihan boleh diadakan di situ walaupun tahap pencahayaan lampu limpah kurang memuaskan.

“Mungkin dalam tempoh seminggu ini, TRW akan berlatih di gelanggang ini dan diselang-seli dengan latihan kecergasan di gimnasium,” katanya.

Skuad TRW yang diberi cuti selepas perlawanan terakhir menentang Pulau Pinang yang berakhir dengan keputusan seri 2-2, sehingga kini masih gagal mengadakan latihan di stadium keramat mereka berikutan kegagalan mendapatkan kelulusan Perbadanan Stadium Kelantan (PSK).

Terdahulu, Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor, mengesahkan pihaknya diberitahu secara lisan oleh PSK bahawa stadium tidak dapat digunakan sepanjang bulan puasa kerana kerajaan negeri menganjurkan program Madinah Ramadan.