Kapten pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi, berasa puas apabila dapat mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat lawan untuk menebus kekecewaan lalu dalam kemenangan 4-2 ke atas Perak dalam saingan Liga Super, malam tadi.

Kegagalan meraih sebarang kemenangan di laman sendiri dalam tiga aksi sebelum ini bukan bermakna Kelantan telah berputus asa apabila menyaksikan mereka bangkit untuk meraih tiga mata di Ipoh.

Ia seakan-akan sudah menjadi kebiasaan apabila pasukan ini ketinggalan terlebih dahulu dengan gol awal pihak lawan sebelum mereka kembali mengejar kedudukan sehingga mencetak empat gol menerusi Mohammed Ghaddar dan Indra Putra Mahayuddin.

Badhri, yang mesra disapa Piya, mengingatkan The Red Warriors (TRW) bahawa masih banyak yang perlu diperbaiki sebelum aksi berdepan T-Team di laman sendiri, Sabtu ini.

"Dalam 10 minit awal permainan, kami mesti kena (dibolosi) kerana permainan kami agak gopoh sedikit.

"Kami bangkit dan menjaringkan gol sehingga dapat mengawal permainan. Itu bermakna kami mendapat rentak malam ini (tadi)," katanya.

Pengendali TRW, Zahasmi Ismail, yang tidak dapat menahan sebak, menyifatkan kemenangan itu adalah hadiah buat penyokong yang begitu dahagakan kemenangan sejak tiga perlawanan lalu.

Semangat juang anak buahnya dalam babak kedua jelas membuktikan keberhasilan skuad itu untuk menjaringkan gol.

"Saya berasa amat-amat terharu kerana inilah saat-saat yang dinanti-nantikan selepas kami kecundang tiga kali di gelanggang sendiri.

"Inilah saat-saat yang tidak dapat dilupakan," kata Zahasmi.