Ketua jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail, mempertaruhkan rekod tanpa kalah di tempat lawan pasukannya sebagai bukti terbaik untuk bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut di gelanggang sendiri dalam aksi menentang pasukan tercorot Liga Super, Pulau Pinang, di Stadium Negeri, Batu Kawan, malam ini.

“Memang benar, rekod kami di gelanggang sendiri musim ini agak mengecewakan. Daripada enam perlawanan, kami hanya mampu menang sekali bertemu dengan T-Team. Selebihnya, kami tewas biarpun beraksi agak baik menentang Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Tetapi, kami mempunyai rekod bersih (tanpa kalah) apabila beraksi di gelanggang lawan dan kami akan akan cuba pertahankannya apabila bertemu Pulau Pinang, malam ini ” katanya.

Zahasmi juga mengingatkan anak buahnya tidak memandang rendah kemampuan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan kerana skuad Harimau Kumbang itu mendapat motivasi terbaik apabila memperolehi kemenangan pertama dalam Liga Super dengan mengalahkan Felda United 1-0 di gelanggang lawan.

“Kami menghormati kemampuan skuad Pulau Pinang ini dan saya sentiasa mengingatkan pemain supaya tidak mengambil mudah atau memandang rendah kekuatan lawan.

“Apa yang paling penting, pemain tidak mengulangi sebarang kesilapan yang sama semasa Kelantan tewas kepada Pahang dan JDT biarpun pada satu ketika selesa mendahului,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan pasukannya, Zahasmi menyatakan, pemain pertahanan kental, Mohamad Qayyum Marjoni Sabil, terpaksa diketepikan malam ini kerana menerima kad merah semasa bertemu dengan JDT dan penyerang import, Alessandro Celin, masih belum pulih daripada kecederaan.

“Qayyum akan diketepikan (akibat kad merah) tetapi saya mempunyai Mohamad Ab Aziz (Ismail) dan Mohd Azwan (Aripin) yang boleh mengisi kekosongan tersebut. Jadi, tidak ada sebarang masalah besar di situ.

“Cuma, Celin masih belum boleh diturunkan dan kita terpaksa mengharapkan tiga pemain import sahaja (sejak beberapa perlawanan terakhir) dan ini satu kerugian kepada pasukan,” katanya

Kemenangan ke atas Pulau Pinang malam ini akan membolehkan TRW mencabar pasukan kelompok pertengahan Liga Super manakala kekalahan skuad Harimau Kumbang akan menyaksikan mereka berkemungkinan kehilangan tempat beraksi dalam saingan Piala Malaysia.