Kelantan berjaya meraih tiga mata selepas menundukkan Perak 4-2 dalam saingan Liga Super, malam tadi -- cukup melegakan jurulatihnya, Zahasmi Ismail.

Masing-masing menurunkan kesebelasan utama dengan Mohd Badhri Radzi kembali menggalas tugas sebagai kapten pasukan kali ini.

Perak lebih awal memecah kebuntuan pada minit ke-17 hasil jaringan Vladislav Mirchev, namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila Mohamed Ghaddar menyamakan kedudukan pada hujung babak pertama.

Penyerang Lubnan itu menemui gawang buat kali kedua pada minit ke-84 sebelum melengkapkan hatrik menerusi sepakan penalti.

Perak menambah gol kedua, sekali lagi menerusi Mirchev, namun sudah terlalu lewat untuk mencetuskan kebangkitan, apatah lagi Kelantan menemui gol keempat menerusi pemain veteran, Indra Putra Mahyayuddin.

Pengendali Perak, Mehmet Durakovic, mengakui kegagalan anak buahnya melunaskan peluang punca tewas.

"Kami gagal melunaskan peluang, kami cuba memenangi perlawanan dan pihak lawan mengambil kesempatan untuk meledak gol menerusi serangan balas meskipun pemain saya tidak sepatutnya membenarkan gol itu berlaku," ujar Durakovic.

Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan, Zahasmi, tiada kata lain selain pujian buat pemainnya.

"Alhamdulilah, berdepan saingan sengit daripada Perak, ditambah dengan keadaan padang yang becak, anak buah saya telah memberikan yang terbaik," katanya.