Ketua jurulatih The President Warriors (TPW), Zahasmi Ismail, menyifatkan kelekaan benteng pertahanan yang menghadiahkan gol mudah kepada lawan seawal minit pertama permainan menjadi punca kekalahan 1-0 Kelantan kepada Johor Darul Ta’zim III dalam aksi Piala Presiden di Stadium Sultan Muhammad IV, petang semalam.

Biarpun TPW menguasai keseluruhan permainan, namun ketumpulan barisan serangan yang diketuai ketua pasukan, Nik Azli Nik Alias, juga menyumbang kepada kekalahan pertama di gelanggang sendiri.

“Pemain hilang fokus apabila melepaskan jaringan mudah kepada lawan (seawal minit pertama) akibat kesilapan sendiri.

“Kami cuba bangkit dengan melakukan serangan demi serangan, namun penjaga gol JDT III (Mohamad Ikram Nasiran) beraksi cemerlang,” katanya.

Zahasmi yang juga bekas ketua jurulatih The Red Warriors (TRW) musim lalu mengakui nasib tidak berpihak kepada anak buahnya biarpun mereka menguasai keseluruhan perlawanan.

“Inilah bola sepak. Menguasai permainan tanpa ada jaringan menyebabkan kita akur dengan kekalahan di tempat sendiri.

“Kami akan membaiki segala kekurangan yang ada sebelum menentang Kedah, 8 Mac nanti."

Dalam aksi yang menghiburkan, kesilapan pertahanan TPW, Muhammad Syaiful Alias, membolehkan pemain JDT III, Muhammad Najmuddin Samat, melakukan sepakan kencang menewaskan penjaga gol, Mohammad Fikri Che Soh, untuk gol pertama lawan, seawal minit pertama permainan.

Tersentak dengan gol awal pelawat, jentera serangan TPW menerusi Nik Azli melancarkan serangan bertubi-tubi, malangnya benteng pertahanan JDT III kental bertahan sehingga aksi separuh masa pertama tamat.

Dalam babak kedua, TPW hampir menyamakan kedudukan, malangnya rembatan menarik pertahanan, Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni melewati palang pada minit ke-67.

Dalam masa kecederaan, Kelantan berjaya menjaringkan gol, namun tidak dikira pengadil, Hamdan Awang, kerana mendakwa Nik Azli menolak Mohamad Ikram sebelum melakukan tandukan.

Kedudukan kekal 1-0 dan membolehkan JDT III ceria bawa pulang tiga mata dari Kota Bharu.