Fokus Kelantan hanya terarah untuk terus memperbaiki kedudukan dalam Liga Super dan tidak terkesan dengan hukuman denda atau pemotongan mata tertangguh yang dikenakan Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) terhadap 10 pasukan Liga Malaysia (Liga M).

Jaminan itu disuarakan pemangku jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, menjelang pertemuan dengan PKNS FC, esok.

Bagi Yusri, dia mahu momentum dua kemenangan sebelum ini diteruskan apabila berdepan skuad Semut Merah itu di Shah Alam.

Jurulatih itu menyerahkan isu dengan FMLLP kepada pihak pengurusan pasukan manakala pemain hanya memberi tumpuan kepada tugasan di atas padang.

"Keputusan esok membolehkan kami berada dalam kedudukan lebih baik dalam carta liga.

"Kami sedar kedudukan pada hari ini adalah di antara Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dan FMLLP, kami tidak dapat lari daripada isu itu.

"Seharusnya, kami perlu bermain sehabis baik dahulu untuk mendapatkan keputusan yang positif," katanya.

Kelantan adalah antara empat pasukan Liga Super yang berdepan hukuman pemotongan enam mata serta denda RM1.5 juta oleh FMLLP atas kelewatan mengesahkan pendaftaran pemain.

Aksi dengan PKNS turut menemukan semula Yusri dengan bekas jurulatihnya di Selangor pada musim 2000, Datuk K. Rajagobal.

Yusri mengakui Kelantan perlu berada di tahap terbaik untuk menangani barisan pemain tuan rumah itu.

"Saya seharusnya bijak menggunakan kemampuan yang dimiliki pemain-pemain dalam skuad.

"Saya juga perlu peka dengan kelebihan PKNS kerana mereka sukar ditewaskan, lebih-lebih lagi ketika beraksi di Stadium Shah Alam," katanya lagi.