Yusri Che Lah menafikan dirinya diboikot oleh pemain import Kuala Lumpur sehingga beliau mengambil tindakan drastik untuk meletakkan jawatannya selaku ketua jurulatih berkuat kuasa hari ini.

Yusri menyertai skuad Warga Kota itu musim ini dengan keadaan yang kurang sempurna.

Beliau terpalit dengan isu pemilihan pemain dan pernah mengakui kedudukan pasukan itu akan berubah jika dia diberikan kuasa penuh untuk menentukan pemilihan pemain import.

Ia seolah-olah menggambarkan hubungan dinginnya dengan pemain import sedia ada selepas penyerang import, Guilherme de Paula, masih belum pulih daripada kecederaan.

Bagaimanapun, Yusri menerusi sidang media tergempar di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, hari ini, tampak berselindung untuk mendedahkan perkara sebenar.

"Sejujurnya, saya tidak pernah berasakan ada pemain ini yang membunuh saya.

"Ia tidak pernah ada dalam kamus hidup saya.

"Saya sudah berjanji dengan Allah, jika saya berlaku jujur dengan manusia, manusia juga akan berlaku jujur dengan saya.

"Seandainya ada perkara itu, biarlah sesiapa juga yang melakukannya berdepan dengan Yang Maha Esa.

"Bagi saya, perkara itu tidak pernah terjadi," katanya.

Kuala Lumpur muncul satu-satunya pasukan Liga Super yang masih gagal mengutip sebarang mata susulan tewas kesemua lima perlawanan pertama untuk menghuni tangga tercorot.

Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) kini melantik penolong jurulatih mereka, Choong Yee Fatt, sebagai pemangku jurulatih sebelum memutuskan kemasukan jurulatih baru.

"Jurulatih telah berjumpa dan berbincang dengan De Paula untuk pemain itu dikeluarkan dulu dan menyertai kami semula dalam jendela perpindahan kedua.

"Apabila pemain itu tidak mahu keluar dan bertegas mahu kekal beraksi, ia mendatangkan masalah buat kami dan jurulatih," kata Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa.

"Walaupun hanya bersama dalam tempoh yang seketika, banyak yang kami pelajari daripadanya.

"Pemergiannya amat menyedihkan dan membuatkan kami terasa.

"Setiap pemain perlu tabah dan menerima apa yang sudah berlaku," tambah kapten Kuala Lumpur, Indra Putra Mahayuddin