Pemangku jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah, memohon maaf kepada semua penyokong setia Kelantan dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan 1-4 kepada PKNS FC dalam pusingan ketiga Piala FA di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Selepas ketinggalan dengan empat jaringan tanpa balas, katanya, keyakinan pemain terus merosot dan tidak banyak yang boleh dilakukan dalam baki 20 minit permainan untuk bangkit semula.

“Apapun, saya bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan ini. Semua rancangan yang dirancang tidak menjadi.

“Separuh masa pertama kami sudah ketinggalan dengan dua gol awal. Dalam babak kedua, saya cuba menukar strategi untuk mencari gol semangat dengan harapan pemain terus memberi saingan sehingga 90 minit permainan. Malangnya, pintu gol kami terus ditembusi,” katanya.

Yusri juga mahukan anak buahnya cepat bangkit daripada kekalahan ini untuk kembali bersemangat mengharungi saingan Liga Super yang masih panjang.

“Saya harap rehat selama dua minggu ini dapat kami gunakan sepenuhnya bagi membaik pulih segala kelemahan yang cukup ketara . Saya yakin kami akan bangkit memberi cabaran dalam saingan Liga Super selepas ini,” katanya.

Dalam aksi berat sebelah malam tadi, skuad bimbingan Datuk K Rajagobal itu mendapat gol pertama melalui sepakan penalti yang disudahkan penyerang kelahiran Colombia, Romel Ramirez, pada minit ke-15.

Mahali Jasuli menggandakan kedudukan tuan rumah dengan menewaskan penjaga gol TRW, Khairul Fahmi Che Mat, pada minit ke-42 untuk PKNS selesa mendahului 2-0.

Babak kedua menyaksikan penguasaan berterusan PKNS dan berjaya mendapatkan gol ketiga melalui rembatan kencang kapten pasukan, Mohd Safee Mohd Sali, pada minit ke-60 sebelum penyerang, Rafael Ramazotti, menjadikan kedudukan 4-0 lima minit selepas itu.

TRW mendapat gol sagu hati melalui penyerang, Mohammed Ghaddar, yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit akhir perlawanan selepas bola terkena tangan pertahanan PKNS.