Pemangku ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, mengakui cukup kecewa apabila The Red Warriors (TRW) sekadar seri 1-1 dengan Melaka United biarpun kemenangan sudah hampir dalam genggaman ketika aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Dia sedar keputusan seri itu hampir memusnahkan hajat Kelantan untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan tatkala pencabar tangga ke-10, PKNP FC, menumpaskan Negeri Sembilan 2-1.

Bagaimanapun, Yusri tetap memberi kredit kepada pemainnya yang beraksi dengan penuh berdisiplin untuk menutup segala peluang kepada pemain Melaka mengancam kubu tuan rumah.

"Alhamdulillah, saya terima keputusan ini kerana perancangan Allah lebih adil kepada kami.

"Tentulah saya orang yang paling kecewa pada malam ini apabila tiga mata sudah berada dalam genggaman tetapi dilepaskan akibat sepakan penalti pada minit akhir permainan.

"Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada pemain saya yang beraksi cukup baik malam ini dan berjaya menutup segala peluang untuk pemain Melaka melakukan sesuatu," katanya.

Ditanya mengenai prestasi penyerang import baru kelahiran Brazil, Cristiano Marcolino Santos, yang masih gagal menemui sentuhan jaringan dalam empat perlawanan bersama TRW, Yusri faham perasaan penyokong tetapi mahu pemain itu terus diberi peluang untuk menjaringkan gol pertamanya.

"Selepas Shafiq (Shaharudin) menyudahkan satu peluang yang separuh terbuka, Santos memiliki dua peluang yang diciptanya sendiri, namun gagal diterjemah sebagai jaringan.

"Saya masih percaya dengan kebolehannya kerana kehadiran (Santos) membantu jentera serangan Kelantan mengucar-kacirkan pertahanan lawan," tambahnya.

Yusri yang juga bekas pengendali Felcra FC mengharapkan pemainnya terus memberi tumpuan sepenuhnya untuk baki tiga lagi aksi Liga Super bagi melayakkan diri beraksi dalam saingan Piala Malaysia.

"Kalaulah kami tidak dapat mencapai sasaran 10 terbaik liga, pemain perlu berjuang untuk bermain dalam Piala Malaysia," ujarnya.