Masalah dalaman yang menyelubungi skuad Kuala Lumpur dilihat memberi kesan kepada pasukan sehingga ketua jurulatih, Yusri Che Lah, menggesa pihak pengurusan mengutamakan kecemerlangan pasukan berbanding kepentingan peribadi.

Tanpa berselindung, Yusri mengakui isu yang belum selesai membabitkan kedudukan individu di bahagian pengurusan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) tampak mengganggu tumpuan pemain.

Tambahan pul, ia turut menyentuh keperluan pemain dengan kelewatan pembayaran gaji umpama petanda tidak baik untuk perkembangan pasukan itu musim ini.

"Gajah dengan gajah bermasalah, kami ibarat kancil di bawah yang turut terlibat dan terkesan dengan masalah yang ada. Jadi, diharapkan ia tidak mengganggu perancangan kami.

"Saya mengharapkan mereka berbaik atau mencari jalan terbaik demi Kuala Lumpur dan bukan untuk kepentingan peribadi," katanya.

Aksi pembukaan Kuala Lumpur di laman sendiri semalam tidak bermula dengan langkah kanan selepas tewas kepada Pahang 3-1.

Jurang pemain dan kredibiliti yang dimiliki skuad kendalian Dollah Salleh itu membuatkan Yusri akur bahawa anak buahnya memerlukan masa untuk memberi saingan lebih baik di masa akan datang.

"Saya dapat menyekat satu daripada senjata utama Pahang tetapi mereka berada satu tahap yang lebih baik kerana mempunyai kualiti tinggi. Itu kelemahan pemain saya tetapi pujian tetap harus diberikan kepada Kuala Lumpur," tambah Yusri.

"Kami ibarat beraksi di Stadium Darulmakmur kerana tiada penyokong walaupun bermain di laman sendiri."