Bekas jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, hari ini diumumkan sebagai pengendali untuk membimbing pasukan B-20 yang ditubuhkan hasil usaha sama di antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Skuad Projek FAM-MSN itu -- yang akan dibarisi seramai 30 pemain lepasan Projek Pembangunan Bolasepak Nasional (NFDP), Akademi Mokhtar Dahari (AMD), produk Piala Belia dan Presiden, sekolah sukan Malaysia -- akan bersaing dalam Liga Perdana 2021.

"Objektif kewujudan skuad ini adalah satu manifestasi perancangan KBS dan MSN yang akan memastikan graduan NFDP dan lepasan pelatih pusat latihan daerah, sekolah sukan Malaysia dan negeri di antara usia 18 hingga 22 tahun mempunyai ruang untuk mengembangkan bakat mereka.

"Sesi pemilihan pemain telah dirancang dan akan bermula esok mengikut zon sebagai pendedahan untuk mereka bersaing sepanjang musim.

"Pasukan akan menjalani di MSN (Bukit Jalil) sebagai pusat latihan rasmi sepanjang tempoh program dijalankan," kata Naib Presiden FAM, Subahan Kamal, dalam majlis yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, di Arena Futsal FAM, petang tadi.

Siaran Media: FAM & MSN Bentuk Skuad Projek Khas Sebagai Laluan Kerjaya Lepasan NFDP Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)...

Posted by Football Association of Malaysia on Thursday, December 10, 2020


Sebelum penubuhan skuad Harimau Muda pada 2009, skuad Olimpik 2000 pernah ditubuhkan pada pertengahan 90-an dengan misi layak ke Sukan Olimpik Sydney.

Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Khalid Jamlus, Rafdi Rashid serta Yuzaiman Zahari antara pemain yang dilahirkan menerusi program sedemikian nya.

11 tahun selepas gagal ke Sukan Olimpik, Harimau Muda diasaskan dengan sasarannya pingat emas Sukan SEA dan Piala Dunia Remaja.

"Saya cukup bersemangat untuk mengetengahkan bakat-bakat baru kerana saya rasa belum melihat kebanyakan pemain lepasan AMD dan negeri serta pusat latihan daerah.

"Ia satu peranan yang cukup baru kepada saya dan ia memberi motivasi bagaimana untuk kami menyerlahkan bakat-bakat baru di luar sana. Mereka sinonim hanya terlibat dengan pasukan belia.

"Pelantar yang diberikan FAM untuk beraksi dalam Liga Perdana. Ia satu pendedahan yang cukup baik untuk bakat-bakat baru, " kata Yusri kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Bekas tonggak kebangsaan itu turut menjadi rebutan pasukan Liga Super, namun cabaran membentuk pasukan muda lebih mengujakan.

"Tempat ini memberi cabaran yang lebih berat. Pada usia 18-19 tahun, bagaimana kami boleh mendedahkan mereka walaupun kami dibarisi pilihan kedua dan ketiga (produk remaja) selepas pilihan pertama telah ditandangani kelab dan negeri.

"Saya masih realistik bahawa saya mampu mengetengahkan bakat-bakat di luar sana dan kemungkinan ia (sumber itu) bukan daripada AMD sahaja, tetapi mungkin dari kampung-kampung.

"Bersama pasukan negeri, kami akan melihat keputusan selama setahun tetapi di sini kami memikirkan tentang pendekatan import.

"Seperti bagaimana mereka akan menghadapi pasukan yang mempunyai pemain import dan senior selain sejauh mana mereka dapat menyesuaikan diri dengan kancah Liga Perdana," katanya.