Pemangku ketua jurulatih The Red Warriors(TRW), Yusri Che Lah, tetap yakin kemampuan pemainnya untuk kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan di sebalik kekalahan 1-0 kepada Kedah di Stadium Darulaman, Alor Setar, malam tadi.

Selepas mencipta kejutan mengalahkan skuad kendalian Mohd Nidzam Adzha Yusoff itu 2-1 Selasa lalu, Yusri akur dengan barisan pemain mudanya gagal mengatasi kemampuan dan pengalaman yang dimiliki Lang Merah.

"Pujian kepada seluruh pemain saya yang beraksi habis-habisan untuk mencari mata. Namun, apabila melakukan sedikit kesilapan, kami pantas dihukum oleh jentera serangan Kedah yang lebih berpengalaman.

"Saya akur dengan kekalahan ini dan cuba mencari jalan untuk bangkit dalam tujuh lagi baki perlawanan Liga Super yang akan menentukan nasib Kelantan," katanya.

Ditanya mengenai pertembungan menentang PKNS FC di Kota Bharu selepas sambutan Aidilfitri, Yusri yakin mampu menggunakan khidmat seorang lain pemain import untuk menguatkan jentera serangan The Red Warriors (TRW).

"Pertemuan amat penting di gelanggang sendiri. Kami perlu mendapatkan mata penting untuk terus bersaing dalam Liga Super.

"Mungkin kami dapat menggunakan khidmat penyerang import terbaru, Christiano Santos, untuk mengatasi masalah ketumpulan jentera serangan. Harap dia cepat sesuaikan diri untuk bergandingan dengan Baktyiar (Dulshobekov) dan Lazarus (Kaimbi)," katanya.

Yusri, yang juga bekas jurulatih Felcra FC, jelas mengharapkan sokongan padu daripada penonton yang mampu membangkitkan semangat melawan pemainnya.

"Kita tahu Kelantan memiliki penyokong yang hebat. Saya diberi amanah untuk mengemudi skuad TRW musim ini.

"Jadi, saya harap (penyokong) terus berdiri kukuh membakar semangat pemain beraksi lebih cemerlang dalam baki tujuh lagi perlawanan untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan," katanya.