Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, beranggapan peluang wajar diberikan kepada Datuk Ong Kim Swee untuk mendapatkan pemain terbaik apabila aksi kelayakan Kejohanan AFC B-23 bertindih dengan saingan Piala Empat Negara di Kuala Lumpur, Mac ini.

Kempen kelayakan Kejohanan AFC B-23 dan saingan Piala Empat Negara mencetus dilema buat pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe dan Kim Swee.

Ia gara-gara empat pemain menjadi tonggak kedua-dua pasukan itu, iaitu Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syamer Kutty Abba dan Syahmi Safari.

Dengan Kim Swee mahukan skuad dalam kelayakan nanti dibarisi pemain terbaik, Yusoff juga berasakan langkah awal ke Sukan Olimpik Tokyo penting untuk direalisasikan.

"Skuad B-23 ini telah memberikan keputusan yang positif sewaktu beraksi di China tahun lalu dan kami mahu melihat kesinambungan pasukan ini untuk saingan akan datang," kata Yusoff.

Ini bermakna Cheng Hoe perlu mengenal pasti pemain lain untuk dibawa beraksi dalam saingan Piala Empat Negara yang menawarkan mata ranking dunia.

FAM kini hanya menunggu pengesahan satu lagi pasukan selepas sebuah pasukan yang pernah beraksi dalam Piala Dunia dan Piala Asia 2019 sudah sah mengambil bahagian.

"Ini merupakan peluang buat Cheng Hoe mendapatkan barisan pemain baru untuk diketengahkan dalam skuad kebangsaan dengan mereka telah menampilkan aksi yang lebih berkualiti sejak musim lalu."