Isu venue perlawanan di antara Korea Utara dan Malaysia bagi aksi kelayakan Piala Asia semakin panas selepas perkembangan terbaru menyaksikan skuad bola sepak negara berdepan kemungkinan perlu terbang ke Pyongyang.

Perlawanan yang dijangka berlangsung pada 9 atau 10 November itu mungkin perlu diadakan di sana selepas Persatuan Bolasepak Korea Utara (PRKFA) membantah alasan keselamatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sebaliknya, mereka mahu perlawanan yang sepatutnya berlangsung Khamis ini terus kekal di Pyongyang dan bukannya di gelanggang berkecuali.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi, menyifatkan aksi di Korea Utara itu sebagai satu perkara mustahil.

“AFC akan menilai apabila wujudnya arahan seperti yang datangnya dari sesebuah negara, bermakna untuk memilih Pyongyang sebagai venue perlawanan adalah agak mustahil.

"Perkara itu juga bermaksud perbincangan akan datang akan menjurus kepada venue alternatif, bukan lagi di Korea Utara walaupun mereka mungkin tetap mahu bermain di laman sendiri,” katanya.

Jawatankuasa Pertandingan, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang dianggotai oleh wakil dari 17 negara bakal bersidang selepas perlawanan di antara Hong Kong dan Malaysia, 10 Oktober ini.

Yusoff yang juga ahli jawatankuasa itu, bagaimanapun, masih belum menerima sebarang surat rasmi mengenai tarikh perbincangan isu berkenaan.

“Semua ahli jawatankuasa akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya kerana ia bukan disebabkan pasukan Malaysia tidak boleh pergi tetapi ia adalah arahan yang keluar daripada Wisma Putra sendiri,” tambah Yusoff.