HUDDERSFIELD TOWN 1 MANCHESTER UNITED 1

Ashley Young menyifatkan kegagalan Manchester United layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan sebagai satu kesan besar, namun mengakui usaha yang dilakukan pasukannya ketika berdepan Huddersfield Town tidak wajar dipersoalkan.


United, yang berada di tangga keenam Liga Perdana Inggeris, terikat 1-1 dengan Huddersfield di Stadium John Smith's, malam tadi dan sah terlepas empat tempat teratas musim ini dengan jaringan Isaac Mbenza dalam babak kedua memadam gol pendahuluan Scott McTominay.

Keputusan itu melengkapkan musim terumbang-ambing United, yang kembali merosot selepas memaparkan peningkatan pesat ketika Ole Gunnar Solskjaer dilantik sebagai pengganti Jose Mourinho, Disember lalu.

Kapten pasukan, Young, mengakui kegagalan layak ke Liga Juara-Juara musim depan sesuatu yang berat untuk dihadapi United walaupun pasukannya mempunyai impian yang lebih besar.

"Saya sudah katakannya sejak dulu lagi, apabila kelab seperti Man United berjuang untuk empat tempat teratas, ia bukanlah apa yang kami mahu perkatakan," katanya kepada Sky Sports.

"Kami perlu bercakap tentang sasaran yang lebih tinggi, memenangi trofi dan menjulang kejuaraan, jadi saya fikir itulah kekecewaannya.

"Ole dan pegawai pasukan akan bersedia pada musim panas ini untuk menghadapi musim depan."

Walaupun pemain United dikritik hebat penyokong, Young menjelaskan pasukannya telah memaparkan perwatakan yang tepat sewaktu menentang Huddersfield

"Saya tidak boleh menyalahkan usaha dan perwatakan.

"Kami telah melakukannya, terutama dalam 20 minit pertama perlawanan.

"Amat sukar apabila kami dibolosi.

"Kami sedar kami memerlukan bantuan daripada pasukan lain, namun kami tidak menolong diri kami hari ini.

"Ia amat mengecewakan," tambahnya.