Ashley Young mempertahankan tindakan pengurus Manchester United, Jose Mourinho, atas layanan terhadap Luke Shaw sambil menyokong pemain pertahanan itu untuk muncul salah seorang pemain terbaik dunia.

Mourinho sekali lagi mempersoalkan Shaw selepas mengeluarkan bek kiri tersebut pada separuh masa pertama dalam kemenangan Piala FA ke atas Brighton & Hove Albion, Sabtu lalu, sebelum secara terbuka mengkritik pemain itu.

Hubungan kedua-dua pihak itu berlangsung tegang untuk beberapa waktu dengan pemain sayap, Young, lebih suka sekiranya bekas pemain Southampton itu memperkemaskan benteng kiri United.

Bagaimanapun, Young menyeru agar Shaw bekerja lebih keras sekiranya dia berhasrat memenuhi potensinya dengan memberitahu BBC Sport: "Dia seorang pemain yang hebat, saya mahu melihat Lukas beraksi dengan baik.

"Dia hanya perlu menundukkan kepala dan berusaha, saya rasa dia boleh menjadi salah seorang yang terbaik di dunia."

Menurut Young lagi yang ditemui semasa tugasan antarabangsa bersama England, dia tetap menyokong tindakan Mourinho terhadap Shaw sambil enggan mempersoalkan kaedah yang digunakannya.

"Pengurus itu telah mencapai kejayaan di setiap kelab yang dia pernah kendalikan," katanya. "Saya tidak fikir dia akan berjaya jika dia tidak tahu bagaimana untuk mengendalikan pemain.

"Kami sedar sebagai pemain, kami perlu turun berlatih dan bekerja keras, namun beliau juga boleh diajak ketawa dan bergurau. Dia mempunyai kedua-dua watak itu dan itulah cara terbaik seorang pengurus," tambahnya.

Legenda Southampton, Matt Le Tissier, adalah antara yang mengecam layanan terhadap Shaw dengan mendakwa Mourinho akan "memusnahkan" pemain England itu.

"Saya fikir jika Mourinho masih berada di sana, maka tidak dapat dielakkan lagi bahawa Shaw akan angkat kaki pada musim panas ini," kata Le Tissier kepada Sky Sports. "Saya tidak tahu apa yang dia cuba capai.

"Wujud hubungan yang sangat aneh di sana dan saya tidak faham apa yang dia sedang lakukan kerana pada masa ini, dia hanya memusnahkan pemain."

Tambah beliau: "Walaupun terdapat pemain yang mendakwa pendekatan seperti ini boleh berfungsi, saya tidak fikir Shaw adalah salah seorang daripada mereka."