Kemesraan rakan sepasukan sepanjang lapan hari perkenalan mereka membuatkan awang import baru PKNP FC, Kalidou Coulibaly Yero, yakin akan menikmati musim pertama yang menyeronokkan dalam Liga Malaysia bermula bulan depan.

"Mereka sungguh mesra dan menerima saya dengan baik.

"Saya berharap ia akan berkekalan dan kami dapat menjalin hubungan akrab dan akan menjadi satu tenaga padu dan jitu, " kata Yero ketika ditemui di pejabat Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, di Ipoh, hari ini.

Menurut penyerang tinggi lampai kelahiran Senegal yang memiliki kerakyatan Portugal itu, ini kali pertama dia bermain di luar negara asalnya.

"Saya mendengar banyak mengenai bola sepak Malaysia dan ingin bersama dengan arus perkembangannya.

"Saya belum pernah bermain di negara asing. Ini satu pengalaman baru," kata bekas pemain pasukan Divisyen dua Portugal, CD Cova Piedade, itu.

Pemain yang mewakili Senegal dalam Sukan Olimpik London 2012 itu berharap dapat membantu pasukan barunya mencapai kejayaan dalam Liga M musim ini.

"Saya berteksd memberi persembahan terbaik kepada majikan baru saya ini dalam setiap perlawanan.

"Saya mahu membalas keyakinan dan kepercayaan pengawal pasukan terhadap saya," katanya.