Yayasan Sabah, SSMS, Hugu SV ungguli Piala DO Penampang
Oktober 27, 2016 00:36 MYT
Pasukan Yayasan Sabah, SSMS, dan Hugu SV, mengungguli Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah, Piala Pegawai Daerah (DO) Penampang, yang diadakan di Padang Hungab, Penampang, baru-baru ini.
Tiga pasukan berkenaan masing-masing menjuarai kategori 'winner's pool' terbuka lelaki, wanita dan veteran.
Yayasan Sabah dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan pasukan PDRM Penampang 1-0 dalam final manakala SSMS menundukkan Ziemal FC 2-0 dan Hugu SV pula mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Telipok SV.
Selain itu, tiga pasukan berkenaan turut diangkat selaku juara keseluruhan selepas menewaskan lawan masing-masing yang memenangi perlawanan akhir 'loser's pool'.
Bagi kategori 'loser's pool', Novahool Jr muncul juara kategori terbuka lelaki selepas menundukkan Mix 2P FC 1-0 dalam final manakala NB Sundu Ream memenangi kategori terbuka wanita selepas menewaskan Musaim Clan 1-0.
Sementara itu, pasukan Tuaui SV pula muncul juara kategori veteran (loser's pool) selepas menewaskan Kolopis SV dalam perlawanan akhir.