Insiden kes doping yang membabitkan penerjun negara, Ng Yan Yee, tahun lalu telah mengubah kehidupan dan kerjayanya.

Dia sedar tidak mampu berpatah balik, namun sokongan daripada rakan terdekat serta ahli keluarga tetap ditagih bagi mengembalikan keyakinannya selepas didapati terlibat dengan bahan terlarang jenis sibutramine ketika saingan Sukan SEA 2017.

"Apabila ia berlaku, tiada siapa yang mempercayai saya, walaupun kawan sendiri," katanya.

"Saya telah terlibat dengan sukan terjun dalam tempoh yang lama dan tidak pernah melalui situasi sebegitu sebelum ini.

"Apa yang saya pelajari daripada isu ini adalah kita harus sentiasa berwaspada dalam apa perkara sekalipun kerana saya sendiri telah berjaga-jaga selama beberapa tahun dalam setiap pengambilan makanan dan sebagainya tetapi ia tetap berlaku.

"Jika ada sesiapa yang memberikan anda makanan, anda perlu terus merujuk kepada Institut Sukan Negara (ISN) dan jurulatih."

Dalam masa sama, Yan Yee juga dapat melihat beberapa kenalan yang sudah mula menjauhkan diri, terutama selepas dijatuhkan hukuman penggantungan selama lapan bulan sehingga 25 April depan.

"Kini saya berasa lega, terima kasih kepada semua pihak yang membantu saya. Apa yang terjadi, saya jadikan sebagai pengajaran yang amat berguna.

"Saya berharap ia tak akan berlaku lagi kerana saat itu merupakan tempoh yang amat sukar. Tiada siapa yang akan mahu melalui proses itu," tambahnya.