Syarikat pengeluar minuman probiotik, Yakult Malaysia, tetap meneruskan tajaan ke atas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) biarpun badan induk itu tidak berminat untuk menggunakan pemain import kelahiran Jepun, Yuta Suzuki, dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pengarah Urusan Yakult, Hiroshi Hamada, menjelaskan pihaknya akur dengan keputusan The Red Warriors (TRW) itu sambil menegaskan tindakan menaja seorang pemain import adalah bagi membantu menguatkan pasukan Kelantan memandangkan KAFA mempunyai masalah kewangan.

"Malangnya, Suzuki tidak menepati ciri-ciri pemain import yang diperlukan oleh pengarah teknikal merangkap ketua jurulatih sementara Kelantan, Jorg Peter Steinebrunner.

"Yakult menghormati keputusan itu dan memilih untuk meneruskan tajaan tanpa melibatkan pakej pemain import," katanya.

Sementara itu, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berterima kasih kepada Yakult yang sanggup meneruskan tajaan kewangan bagi membantu TRW musim ini.

"Bagi pihak KAFA, isu ini dianggap selesai dan terima kasih kepada Yakult yang sanggup bertolak-ansur dan terus menaja Kelantan tahun ini," katanya.

Untuk rekod, Yakult telah menjadi penaja KAFA sejak tahun 2017 lagi.

Yakult juga merupakan penaja rasmi bagi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Institut Sukan Negara (ISN) di mana minuman probiotik Yakult telah diiktiraf sebagai minuman rasmi.

Yakult juga akan menyumbangkan satu sen bagi setiap botol yang terjual kepada pembangunan bola sepak negara.