Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd. hari ini mengumumkan akan meneruskan kerjasama dengan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) bagi tempoh setahun lagi bermula Ogos 2021 hingga Ogos 2022.

Ini bukanlah kali pertama Yakult menjalinkan kerjasama dengan MSDeaf kerana tahun lalu, syarikat minuman probitik itu turut sama membantu dalam persiapan pasukan Bola Sepak Orang Pekak Malaysia yang lebih dikenali sebagai `Skuad Harimau Pekak Malaysia` menjelang penampilan sulung mereka dalam Kejohanan Piala Dunia Orang Pekak 2020 di Mapo, Korea Selatan.

Namun, kejohanan itu ditunda akibat penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia.

Majlis penyerahan penajaan di antara pihak Yakult yang diwakili oleh Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada, sementara pihak MSDeaf yang diwakil oleh Presiden, Ong Shin Ruen.

Penajaan bernilai RM40,000 itu merangkumi wang tunai berjumlah RM30,000 , minuman probiotik Yakult dan barangan sukan telah disampaikan di Pejabat Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia di Kuala Lumpur.

Selain itu, Yakult turut menyampaikan 29 pasang kasut bola sepak yang diterima daripada pihak PUMA Jepun menerusi Perjanjian Kerjasama Rakan ASEAN di antara pihak Yakult Malaysia bersama kelab bola sepak Liga Jepun, Cerezo Osaka.

Menerusi perjanjian ini, Yakult menjadi Penaja Rasmi MInuman Probiotik kepada MSDeaf.

Menurut Hiroshi Hamada, "Kami berharap sokongan berterusan dari pihak kami dapat membantu MSDeaf dan juga pasukan Bola Sepak Orang Pekak Malaysia yang dalam persiapan menyertai Pusingan Kelayakan Bola Sepak Temasya Deaflympic yang ke 24 di Caxias do Sul, Brazil pada Mei 2022.




"Selain itu, kami juga berharap suplemen probiotik Yakult dapat memastikan kesihatan atlet berada dalam kondisi yang terbaik. Ini kerana, 70 peratus kekebalan badan kita terletak di usus dan sangat penting untuk memastikan usus kita sentiasa berada dalam keadaan yang optimum".

Pasukan Bola Sepak Orang Pekak Malaysia yang dibimbing oleh ketua jurulatih, Manachai Sittisarn, kini berada dalam kelompok 24 pasukan terbaik dunia, malah turut menghuni ranking keenam Asia Pasifik dan juga ranking kedua Asean bagi bola sepak orang Pekak.