Pemain tengah Arsenal, Granit Xhaka, berkata pengkritiknya dalam media British cuba untuk membuatkan dia kelihatan seperti "si dungu ".

Xhaka berpindah dari Borussia Monchengladbach untuk menyertai The Gunners pada Mei lalu selepas kedua-dua kelab bersetuju dengan perjanjian yang dilaporkan bernilai sekitar GBP35 juta.

Pemain berusia 24 tahun itu telah menjaringkan tiga gol dalam 33 penampilan untuk pasukan bimbingan Arsene Wenger itu, namun dia terlepas tujuh perlawanan musim ini ekoran penggantungan perlawanan, setelah dua kali dibuang padang.

Perbandingan yang dibuat di antara Xhaka dan Chelsea yang mengeluarkan dana sebanyak GBP30j bagi mendapatkan N'Golo Kante, telah digunakan sebagai kesimpulan kepada kelesuan di Stadium Emirates, dengan Arsenal tersingkir daripada Liga Juara-Juara selepas tewas 10-2 kepada Bayern Munich dan menghadapi tugas berat untuk menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam kelompok empat terbaik.

Tetapi, Xhaka memberitahu 24 Heures: "Apa yang terkesan di hati saya adalah sumber kritikan itu dan apa yang dikritik.

"Ia bukan datang dari kelab saya tetapi daripada bekas pemain yang tidak mengenali saya atau Arsenal.

"Orang yang tidak tahu apa-apa mengenai gaya permainan saya telah menyerang dan membuatkan saya kelihatan seperti "si dungu yang bodoh!"

Selepas insiden kedua dibuang padang musim ini ketika menentang Burnley di atas kekasaran terhadap Steven Defour, Wenger mengakui pemain tengah Swistzerland itu bukanlah tukang terjah yang semulajadi tetapi memuji kebolehan lain yang ada padanya.

"Tiada suntikan keyakinan yang lebih besar selain daripada itu," tambah Xhaka. "Selepas dua minggu tersisih, dia datang kepada saya dan berkata: 'Anda akan bermain.'

"Dibuang padang seperti itu bergantung kepada keadaan, ia boleh mengubah kerjaya seseorang. Jurulatih boleh menghukum saya ketika saya dalam keadaan seperti itu."

Dengan situasi kontrak baru Wenger bersama Arsenal masih buntu berikutan tekanan daripada penyokong, Xhaka berkata situasi seperti itu adalah fenomena baru buatnya.

"Apa yang berlaku di sini, mengenai agenda harian Arsenal, adalah sangat berbeza daripada apa yang saya alami di Monchengladbach. Mereka merupakan dunia yang berbeza," ujarnya lagi.

"Tiga persembahan buruk berturut-turut meletakkan anda dalam situasi buruk. Harapan di sini sangat besar, iaitu memenangi EPL, Liga Juara-Juara dan memenangi trofi lain.

"Jika anda gagal melakukannya, maka anda tidak akan terlepas daripada kritikan dan ia berlaku di mana-mana."