Pemain tengah Arsenal, Granit Xhaka, mendedahkan bahawa dia benar-benar hampir untuk meninggalkan kelab itu pada Januari lalu dan berterima kasih kepada ketua jurulatih, Mikel Arteta, kerana memberikannya peluang kedua.

Xhaka kelihatan hampir pasti akan meninggalkan pasukan itu selepas dilucutkan daripada jawatan kapten pada November lalu selepas ketegangannya dengan penyokong ketika ditukarkan sewaktu Arsenal terikat 2-2 dengan Crystal Palace sebulan sebelumnya.

Pemain berusia 27 tahun itu digugurkan sebanyak lima kali daripada skuad utama tetapi memenangi kembali tempatnya dan sepanjang lapan bulan selepas itu, dia merupakan pemain tetap dalam kesebelasan utama.

Arteta minggu lalu memuji Xhaka kerana memenangi kembali hati penyokong Arsenal menerusi aksi terpujinya di atas padang tetapi bekas bintang Borussia Monchengladbach itu mengakui bahawa dia sebenarnya sudah hampir pasti meninggalkan pasukan itu.

Semua orang tahu apa yang terjadi dengan saya dan penyokong -- atau penyokong dengan saya. Ia bukan waktu yang baik. Ia waktu yang buruk," katanya kepada BT Sport.

"Tetapi mungkin itulah kuncinya kerana saya kembali dengan lebih kuat berbanding sebelumnya, jadi saya banyak belajar daripada situasi itu. Saya harap penyokong juga begitu.

"Saya sentiasa berkata kepada diri saya dan kepada penyokong juga bahawa saya akan memberikan 100 peratus dalam setiap perlawanan.

"Saya jujur. Saya sentiasa jujur dengan setiap orang. Saya benar-benar sudah hampir meninggalkan kelab ini.

"Sehingga ke waktu itu, saya mempunyai waktu yang amat-amat baik bersama kelab ini.

"Tetapi selepas itu, ia sudah pasti disebabkan saya agak kecewa kerana saya tidak pernah menjangkakan layanan seperti itu daripada penyokong.

"Saya tidak pernah terfikir untuk meninggalkan kelab ini tetapi selepas apa yang berlaku, sudah pasti anda akan memikirkannya," katanya.

Pemain kebangsaan Switzerland itu berterima kasih kepada Arteta, yang mengambil alih peranan Unai Emery lebih kurang dua bulan selepas insiden itu, kerana telah mengubah kariernya di London.

"Apabila Mikel tiba, saya ada perbincangan yang baik dengan, perbincangan yang amat baik.

"Mikel adalah orangnya. Dia mengubah nasib saya dan memberikan saya peluang kedua.

"Dia menunjukkan yang di mempercayai saya dan saya perlu membalasnya dengan segala-galanya," tambahnya.

Arsenal akan berdepan Chelsea dalam final Piala FA di Stadium Wembley awal pagi lusa.