Xavi dilaporkan menolak tawaran untuk mengendalikan Barcelona kerana mahu kekal bersama kelab Qatar, Al Sadd.

Spekulasi mengenai masa depan pengurus Barca, Ernesto Valverde, di Camp Nou semakin bertiup kencang selepas juara LaLiga itu tewas 2-3 kepada Atletico Madrid dalam separuh akhir Piala Super Sepanyol di Arab Saudi, Khamis lalu.

Kedudukan Valverde mula tergugat selepas pasukannya disingkirkan Liverpool dalam separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan tewas kepada Valencia dalam final Copa del Rey musim lalu.

Media-media di Sepanyol melaporkan bahawa Ketua Eksekutif Barcelona, Oscar Grau, dan setiausaha teknikal, Eric Abidal, telah ke Doha untuk mengadakan pertemuan dengan Xavi kelmarin.

Kunjungan itu dikatakan bertujuan untuk menawarkan Xavi peluang menggantikan Valverde dalam masa terdekat tanpa perlu menunggu hingga penghujung musim ini.

Bagaimanapun, Xavi dikatakan menolak tawaran itu dengan akhbar Sepanyol, Marca, mendakwa dia mahu menunggu sehingga Jun ini atau Jun tahun depan untuk mengambil alih tugas di Camp Nou.

Al Sadd mengesahkan bahawa jurulatih mereka itu masih mengendalikan sesi latihan menjelang final Piala Qatar menentang Al-Duhail, Jumaat ini.

Xavi turut mengesahkan pertemuannya dengan pegawai Barcelona tetapi enggan mendedahkan butirannya kerana menghormati Valverde.

"Mengendalikan Barca merupakan impian saya, saya tidak dapat menafikannya. Semua orang tahu bahawa saya menyokong mereka dengan setulus hati saya," katanya kepada wartawan selepas memacu Al Sadd ke final Piala Qatar dengan menewaskan Al Rayyan kelmarin.

"Benar, Abidal adalah rakan saya. Saya pernah bertemunya banyak kali, jadi saya tidak boleh berkata apa-apa.

"Saya menghormati Barcelona, saya menghormati Valverde, saya menghormati pemain dan kelab saya.

"Mereka (Barca) berada di sini untuk bercakap dengan saya dan membincangkan banyak perkara.

"Saya tidak dapat berkata apa-apa lagi. Maaf, saya tidak dapat memaklumkan terlalu banyak kepada anda.

"Saya berjumpa dengan Abidal, dia rakan saya, itu sahaja.

"Saya sedang melakukan tugas saya di sini.

"Saya melakukannya dengan sebaik mungkin.

"Saya fokus terhadap perlawanan separuh akhir dan kami kini akan beraksi dalam final, jadi saya amat gembira.

"Saya amat gembira untuk mengendalikan Al Sadd dan saya fokus kepada pasukan saya," katanya.



Editor: Muzaffar Musa