Pep Guardiola menjangkakan Xavi akan menjadi seorang jurulatih yang berjaya di Barcelona dengan caranya sendiri dan enggan dibandingkan dengan bekas rakan sepasukannya itu.

Xavi diperkenalkan secara rasmi sebagai pengganti Ronald Koeman di depan sekitar 10,000 penyokong kelab itu di Camp Nou semalam.

Dia kini kembali ke pangkuan bekas pasukannya, di mana dia menghabiskan 17 musim selaku pemain dengan 767 penampilan -- rekod yang hanya mampu diatasi Lionel Messi (778).

Individu berusia 41 tahun itu pernah memenangi lapan gelaran LaLiga dan empat kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah sebelum menamatkan perkhidmatan 24 tahunnya bersama pasukan gergasi Catalan itu pada 2015.

Enam tahun kemudian -- selepas menimba pengalaman dua setengah tahun mengendalikan kelab Qatar, Al Sadd -- Xavi kembali ke Catalonia dan ditugaskan untuk memulihkan maruah Barca selepas bergelut sepanjang musim ini.

Xavi juga pernah berkhidmat di bawah bimbingan Guardiola, yang disifatkannya sebagai jurulatih terbaik di dunia dalam sidang medianya semalam.

Tetapi Guardiola, yang menjadi sebahagian tetamu di Camp Nou bagi menyaksikan majlis pengenalan itu, tidak mahu Xavi dibandingkan dengan mana-mana bekas jurulatih kelab itu.

"Saya bukan pewaris kepada sesiapa dan Xavi juga bukan perwaris saya.

"Jika Joan Laporta memilih Xavi, ia kerana terdapat jutaan perkara baik dan buruk.

"Dia mengenali kelab ini dan akan memberikan tenaga positif, dengan cara untuk menikmati bola sepak dan dedikasinya. Dia sentiasa dapat melihat perkara positif.

"Dengan tahap, dedikasi dan usahanya, saya pasti dia dapat memulihkan situasi di kelab ini," katanya.