Pep Guardiola berkata dia tiada sebarang keraguan bahawa Xavi sudah bersedia untuk memulakan era baru di Barcelona seandainya pasukan gergasi Catalan itu menawarkan bekas pemain tengah mereka itu jawatan ketua jurulatih.

Dengan reputasi menguruskan Al Sadd dalam Liga Bintang Qatar, Xavi kini dikaitkan dengan kepulangan ke Camp Nou bagi menggantikan Ronald Koeman yang baru dipecat minggu ini.

Diiktiraf sebagai antara pemain tengah terbaik sepanjang zaman, pemenang Piala Dunia dan dua gelaran Eropah itu pernah melakukan 767 penampilan buat Barca dari 1998 hingga 2015 -- rekod tertinggi kelab itu sebelum dipecahkan Lionel Messi.

Guardiola pernah bermain selama tiga tahun di samping Xavi, yang menjadi nadi pasukannya ketika memenangi tiga gelaran LaLiga dan dua kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dari 2008 hingga 2012.

Pengurus Manchester City itu yakin bahawa Xavi, 41, memiliki kelayakan untuk mengendalikan bekas kelab mereka itu sambil turut menunjukkan empatinya buat seorang lagi bekas rakan sepasukannya, Koeman.

Bercakap menjelang perlawanan City menentang Crystal Palace dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) malam ini, Guardiola berkata: "Saya tidak tahu apa yang akan berlaku.

"Jika benar (Xavi dilantik sebagai ketua jurulatih Barcelona), saya tiada sebarang keraguan bahawa dia sudah bersedia untuk tugas itu.

"Dia tahu cara permainannya, dia mempunyai minat yang mendalam dan saya agak pasti bahawa dia kini lebih berpengalaman berbanding saya ketika mengambil alih pasukan itu.

"Ronald dan saya amat mengetahui di mana kami bergantung dan apa yang kami perlu lakukan dan apa yang kami jangkakan, di mana kami berada di sana untuk mendapatkan keputusan yang baik.

"Tiada siapa dapat bertahan tanpa keputusan yang baik -- termasuk Koeman, termasuk Pep -- kami dinilai berdasarkan keputusan perlawanan," katanya.

Kunjungan Palace ke Stadium Etihad akan menjadi perlawanan EPL ke-200 buat Guardiola sepanjang mengendalikan City sejak menggantikan Manuel Pellegrini pada Julai 2016.

Bekas ketua jurulatih Bayern Munich itu telah membimbing City memenangi tiga gelaran EPL dan kini hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu liga, Chelsea, selepas sembilan perlawanan musim ini.